HARGAI PANCAINDERA ANDA  

Posted by: Suryati Md.Yasin in

Teringat saya pada satu lagu yang dinyanyikan oleh pak pandir “ Ada mata pandang, ada telinga dengar, ada mulut diam, ada tangan garu ada kaki goyang”. Apa yang ingin saya katakan di sini, pentingnya deria dalam kehidupan kita. Allah menganugerahkan kita lima pancaindera iaitu deria bunyi, deria lihat, deria bau, deria rasa dan deria sentuh.
Dalam konteks saya sebagai guru, deria memainkan peranan penting bagi memudahkan kita menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan sempurna.Deria dengar misalnya membantu kita mendengar dan memahami apa yang ingin diperkatakan oleh murid. Selain itu, semua deria ini membantu guru memahami dan mengenali muridnya selain dapat berinteraksi dengan murid dan ibu-bapa dengan sempurna.Cuba kita bayangkan seorang yang buta mengajar kelas yang normal.Ia pasti memberi kesukaran kepada guru tersebut untuk mengawal kelas.Ini kerana murid-murid tahu guru tidak nampak apa yang mereka lakukan. Ia sama situasi ketika kita menulis di papan putih dan membelakangkan murid. Murid akan mula membuat bising atau bergerak aktif kerana mereka menyangkakan guru tidak nampak apa yang mereka buat.
Deria sentuhan amat penting sebagai komunikasi non verbal antara kita dan murid. Misalnya saya yang mengajar di tahun satu, saya banyak menggunakan deria ini untuk menunjukkan keprihatinan saya terhadap murid. Contohnya, saya menepuk-nepuk mesra belakang murid untuk menunjukkan penghargaan saya kepada mereka kerana dapat menjawab soalan yang dikemukan. Selain ucapan tahniah, sentuhan ini menguatkan lagi ucapan kita tadi. Dengan sentuhan saya dan murid melahirkan perasaan halus adanya ikatan rapat antara saya dan murid yang saya anggap seperti anak-anak saya sendiri.
Cuba kita menonton berita ditelevisyen tanpa membuka suara. Adakah kita faham apa yang ingin disampaikan oleh pemberita? Sudah pasti kita tidak faham dan tidak dapat membuat gambaran yang tepat dengan hanya melihat pada gambar-gambar bisu yang disiarkan. Begitu juga dari konteks saya sebagai pelajar. Saya memerlukan deria-deria ini untuk mendengar dan memahami apa yang ingin disampaikan oleh guru selain daripada menggunakannya untuk berkomunikasi dalam aktiviti-aktiviti berkumpulan.
Deria lihat pula digunakan untuk membaca ilmu yang ada di dalam bentuk catatan seperti buku-buku rujukan, nota-nota catatan, membuat-membuat latihan yang ditugaskan dan sebagainya. Manakala deria sentuhan pula lebih banyak membantu pelajar-pelajar yang buta. Contohnya pelajar buta dapat membaca buku yang mempunyai tulisan braile menggunakan deria sentuhan.
Selain daripada mempelajari bidang-bidang akademik, kita juga melalui proses belajar mengenai kehidupan. Maka deria-deria ini amat membantu kita dalam mempelajari aktiviti sosial dalam masyarakat, malah kita mampu mengenal keluarga kita melalui deria. Contohnya, bayi mengenali ibunya melalui deria bau.Kesimpulannya, kita hendaklah menggunakan anugerah yang Allah kurniakan ini ke jalan sebaik-baiknya.
Bayangkan kalau kita yang sudah biasa menjalani kehidupan normal dan sempurna dengan kelima-lima panca indera ini, dengan tiba-tiba satu hari Allah menguji kita dengan menarik salah-satu daripa deria ini, pastilah kehidupan kita bertambah sukar. Ibarat lirik dalam nasyid ini ” Buta mata tak nampak jalan di dunia kerana tidak nampak cahaya, tidak tahu ke mana hendak dituju, ke hilir atau ke hulu”.

This entry was posted on Sunday, March 22, 2009 and is filed under . You can leave a response and follow any responses to this entry through the Subscribe to: Post Comments (Atom) .

0 comments

Post a Comment