Posted by: Suryati Md.Yasin in

MENINGKATKAN KUALITI SEBUTAN ‘RA’ DAN ‘GHO’ MURID TAHUN 4 SK IPG KAMPUS DATO’ RAZALI ISMAIL PADA KALIMAH TERTENTU DALAM BACAAN SURAH AL-FATIHAH

SURYATI BINTI MD YASIN

NORLIZA BINTI ABD RASHID

ABSTRAK


Satu kajian tindakan yang dilaksanakan terhadap murid-murid Tahun 4 SK IPG Kampus Dato’ Razali Ismail. Murid-murid dipilih daripada Tahun 4 kerana kebanyakan daripada mereka telah menguasai bacaan al-Quran. Kajian ini bukanlah untuk membolehkan mereka membaca al-Quran tetapi objektif kajian ini lebih kepada meningkatkan kualiti sebutan (ra) dan (gho) dalam pembacaan al-Quran terutama dalam surah al-Fatihah. Huruf (ra) dan (gho) diberi perhatian kerana hasil pengalaman mengajar didapati kebanyakan murid sukar menyebut (ra) dan (gho) dengan tepat. Surah al-Fatihah dipilih kerana ia merupakan permulaan surah al-Quran dan ia juga merupakan rukun dan wajib dibaca di dalam solat dan dipelihara daripada melakukan kesalahan semasa membacanya. Kajian ini melibatkan 18 orang murid sebagai sampel daripada 59 populasi (murid tahun 4). Sampel diperolehi melalui ujian diagnostik. Ujian pra lisan dilaksanakan terhadap sampel untuk mengukur sejauh mana ketidaktepatan dalam menyebut huruf (ra) dan (gho). Kalimah yang diberi perhatian ialah ( رَبِّ ), ( غَيْرِ ), ( مَغْضُوبِ ). Ujian pasca dilakukan selepas 4 kali aktiviti peneguhan dan latihan iaitu “Panggi;l Ayam Makan”, “Menahan air di tengkuk sambil mendonggak” dan latih tubi menyebut. Dapatan kajian menunjukkan peningkatan 50% daripada sampel boleh menyebut huruf (ra) dengan tepat dan 100% sampel berjaya menguasai sebutan (gho) dan 100% sampel dapat menyebut kedua-dua huruf (ra) dan (gho) dengan tepat. Peningkatan ketepatan sampel menyebut (ra) dalam kalimah ( غَيْرِ ) juga dapat dilihat sebanyak 70% dan 50% bagi kalimah ( رَبِّ ). Ketepatan sampel menyebut (gho) dalam kalimah (مَغْضُوبِ ) juga meningkat sebanyak 66.6%. secara keseluruhan, kajian tindakan ini telah Berjaya meningkatkan kualiti sebutan (ra) dan (gho) dalam pembacaan al-Quran terutama dalam surah al-Fatihah. Oleh itu dicadangkan agar aktiviti atau kaedah yang digunakan dalam kajian tindakan ini digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi menyelesaikan masalah yang sama.


PENGENALAN

Kajian ini dilaksanakan terhadap murid-murid tahun 4 SK IPG Kampus Dato Razali Ismail. Murid-murid dipilih daripada tahun 4 kerana kebanyakan daripada mereka telah menguasai bacaan al-Qur’an. Kajian ini bukanlah untuk membolehkan mereka membaca al-Qur’an tetapi objektif kajian ini lebih kepada meningkatkan kualiti sebutan (ra) dan (gho) dalam pembacaan al-Qur’an terutama dalam surah al-Fatihah. Huruf (ra) dan (gho) diberi perhatian kerana hasil pengalaman mengajar, didapati kebanyakan murid sukar mnyebut (ra) dan (gho) dengan tepat.

Surah al-Fatihah dipilih kerana ia merupakan permulaan surah al-Qur’an dan ia juga merupakan rukun dan wajib dibaca di dalam solat. Oleh kerana itu, keseluruhan bacaan surah al-Fatihah wajib dipelihara daripada melakukan kesalahan semasa membaca kerana jika surah ini tidak dibaca dengan sempurna, maka akan cacatlah ibadat solat seseorang itu.

Method yang digunakan dalam kajian tindakan ini ialah pemerhatian, ujian pra dan post .Perlaksanaan kajian merangkumi tinjauan masalah, perlaksanaan program dan tindakan yang dijalankan.

* sekiranya berminat dan ingin berkongsi boleh lah e-mail pada suryati_yasin@yahoo.com. kajian sepenuhnya akan di emelkan..

AHLAN RAMADHAN KARIM  

Posted by: Suryati Md.Yasin in

Ahlan Ramadhan Karim...Ana biasywaak awie..awie..Salam Ramadhan buat semua



Pengaduan Harap.  

Posted by: Suryati Md.Yasin


Puji-pujian buat-Mu Tuhan
Lantaran telah menjadikan aku seorang perempuan
Dicipta dari tulang rusuk kiri Adam dengan seindah kejadian.

Akulah si tulang bengkok,
Yang Kau gubah dengan kekuatan perasaan mengatasi panjangnya akal fikiran
sebagai fitrah dan anugerah
hasil doa seorang lelaki
Namun biarlah kejadianku memberi guna, bengkok yang ada manfaatnya.

Kiranya aku menjadi seorang isteri,
Kurniakanlah kekuatan yang membolehkan aku
menjadi teman setia, penyejuk mata, pembina semangat, penguat jiwa,
seanggun peribadi Siti Khadijah, sumber ketenangan Muhammad
utusan Allah,
Bebas jiwa dari belenggu keperempuanan yang memiliki nafsu yang tidak terbilang,
merdeka daripada kepentingan peribadi,
setulus Fatimah yang sering ditinggalkan suaminya Saidina Ali,
Dihantar pemergiannya tanpa ditanya
bilakah pulang?
Disambut kepulangannya dengan khidmat,
bersulamkan kemesraan.

Jadikanlah rumahtanggaku syurga,
tempat suburnya cinta ketuhanan,
akal yang tunggal tidak hanya dibiarkan berlegar dicelahan periuk belanga,
dibilik lipatan pakaian anak-anak,
biarlah ia menjangkau kebangkitan Islam di alam sejagat,
menjadi pentadbir disebalik tabir.

Namun, siapalah aku,
untuk memiliki watak wanita solehah pendamping nabi,
dek berkaratnya mazmumah yang bersarang dihati,
maka, kurniakanlah aku sekeping hati yang sentiasa insaf,
Hak suami tidak dapat mungkin aku sempurnai,
biar telah kujilat nanahnya yang berlelehan,
biar telah kutadah wajahku untuk mengusap debu
ditelapak kaki.

Sememangnya aku mengimpikan
watak seorang ibu yang bakal melahirkan
putera-putera secekal Mus'ab bin Umair,
yang telah menggadai dunia demi kasih Tuhannya,
atau segigih Zubair Ibnu Awwaam,
yang diangkat oleh rasul sebagai 'hawarij'nya
hasil didikan ibunya setelah melalui zaman anak-anak yatim dan serba kekurangan.
Dan inginku memiliki puteri setabah dan seteguh Masyitah,
rela direbus demi mempertahankan iman,
atau sesuci Maryam yang seluruh hidupnya
mengabdikan dirinya pada Tuhan.

Mudah-mudahan zuriat-zuriatku dapat menampilkan
pejuang-pejuang dan srikandi-srikandi
yang memakmurkan bumi Allah dengan kesolehan
ramainya umat Muhammad
yang saling rela berkorban dan dikorban
demi menyemarakkan Islam diakhir zaman,
sepertimana kisah ibu yang telah kematian putera-puteranya dimedan jihad:
"Maka telah berbahagia sebagaimana aku bahagia.
Aduhai kiranya aku punya anak seorang lagi, aku rela dia turut gugur dijalan Illahi!"

Namun jika aku ditakdirkan akan kehilangan mereka,
tetapkanlah hatiku
setenang Ummu Faisal,
yang tidak menjadi kematian suami dan anak-anaknya
halangan untuk membulatkan kecintaan buat-Mu Tuhan
Redhailah aku yang dhaif sebagai hamba-Mu.

Inilah pengaduan harap dan munajat..
kiranya kekasihMu sendiri pernah bersabda:
"Kulihat kebanyakan dari isi neraka itu adalah wanita".
Tanpa petunjuk-Mu Tuhan,
selangkah yang mengiringiku ke SYURGA,
sederap diriku mencebur ke NERAKA.

Kembali semula ke sekolah  

Posted by: Suryati Md.Yasin in

Assalammualaikum..

Lama sudah saya tak update blog ni. Entah kenapa kekeringan idea. 25 April ni saya akan mula masuk kerja semula. Bila difikirkan..lebih seronok sebenarnya duduk dirumah menjadi surirumah sepenuh masa. Segala-galanya terurus. Nak-nak anak semakin bertambah. Akan tetapi bila muhasabah diri..tanggungjawab terhadap masyarakat juga perlu dilaksanakan..maka saya ketepikan perasaan tadi.Apa yang penting..saya perlu bijak urus masa antara kerjaya dan keluarga. Moga-moga Allah membantu saya yang mempunyai kudrat tidak seberapa.

Saya masih lagi kekok menguruskan dua bayi dalam satu masa. Mutqinah yg baru setahun 3 bulan..dan Muhammad Miqdad yang baru berusia dua bulan dan tiga anak lain yg masih memerlukan perhatian.Tapi tak pe..Allah tahu akan kemampuan saya. Saya yakin setiap yang Allah tentukan ada hikmah dan kemanisan. Untuk mencapai kemanisan pastilah perlu melalui kepahitan. Saya akan belajar dan terus belajar menjadi isteri solehah dan ibu mithali.

Berbalik soal surirumah sepenuh masa, memang saya tak nafikan apabila bercuti dalam pantang ni..dan baki 20 hari cuti selepas pantang, saya lebih tenang, relax dan tidak stress dgn kehidupan seharian. Urusan rumahtangga lebih terurus. Jarang sekali nak lihat kain bergumpal dalam bakul tak berlipat. Kalau bekerja adakalanya sampai 4 hari baju dalam bakul tak berlipat.Yelah bayangkan seorang anak ada kalanya sampai 3 pasang baju sehari..kalu 5 anak 15 pasang..masuk sekali baju mak ayah.Itu soal baju..belum lagi soal lain.Kita tinggalkan soal rumah...

Bercakap pula soal kerja..saya sebenarnya seronok juga bekerja walaupun ada masanya saya berasa begitu tertekan tetapi sebagaimana yang telah saya katakan dan sebagaimana ikrar saya semasa mengikuti latihan perguruan..saya akan cuba tangani stress tersebut dan tidak akan campurkan soal peribadi dan kerja.

Saya suka mengajar..memang dari sekolah saya suka bercakap didepan. Bila diingat-ingatkan soal amalan yang masih tidak cukup dan sebesar zarah pun belum tentu...saya memilih guru sebagai kerjaya saya. "Ilmu yang berguna dan dimanfaatkan akan terus dibawa walaupun kita telah mati" Nah kerana sebab itu saya pilih untuk menjadi guru. Semoga apa yang saya sebarkan akan dimanfaatkan oleh anak murid saya dan menjadi bekalan atau sebagai 'top up' kepada amalan saya yang amat sedikit itu. InsyaAllah..semoga Allah makbulkan.

Sekarang, saya tidak sabar untuk kembali ke sekolah yang saya cintai dan bertemu dengan rakan-rakan sekerja serta anak-anak murid yang dirindui. Cuma saya tak pasti adakah mereka pun merindui saya..:) . Apa-apa pun saya pasti ke sekolah 25 april ni selagi diizinkan Allah dengan perasaan seronok dan sedikit malas..hihihihi (Maklumlah cuti lama..Jangan marah ye bos..gurau saja).Apa-apa saje lah......

Gambar terbaru putera puteriku  

Posted by: Suryati Md.Yasin in



Muhammad Miqdad bin Mohd Faiz Hakimi (20 hari).






Muhammad Mutawalli sibuk nak bergambar..mulut ada makanan lagi tu..



Muhammad Mutawalli ( Bakal ulama menggantikan Syeikh Muhammad Mutawalli Sya'rawi )



Mutqinah (setahun sebulan)..umi sibuk nak amik gambo dia..dia sibuk nak capai kamera.



Anak umi ni nak nangis ke nak senyum...



Tersenyum je..musfirah nak buat iklan gigi.



Anak dara umi, Mardhiyyah, Musfirah dan Mutqinah.

Lahirnya Muhammad Miqdad cahayamata ke 5.  

Posted by: Suryati Md.Yasin in

Alhamdulillah.....tepat 3.31 petang hari Rabu 24 Februari 2010 bersamaan 10 Rabiulawal lahirlah cahayamata kami yang ke 5 yang diberi nama Muhammad Miqdad bin Mohd Faiz Hakimi. Muhammad Miqdad lahir seminggu awal (39 minggu) dengan berat 3.69 kg di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu.

Syukur sebanyak-banyak syukur ke hadrat Illahi anak yang dilahirkan sihat walafiat. Dia adalah putera ke 2 dalam keluarga kami, bakal ulama ke 2 selepas abangnya Muhammad Mutawalli. Alhamdulillah.

Hari ini masuk hari yang kesebelas..alhamdulillah tubuh dah segar. Amallan pantang orang Melayu tetap diamalkan.Menulis di blog ni pun sebentar cuma. Sekadar ingin berkongsi kegembiraan dengan rakan-rakan atau tetamu yang melawat blog ini.Doakan diri ini, suami dan anak-anak sihat walafiat, gembira dan dilimpahkan rahmat. Amin

PEMBINAAN WARGA, PATRIOTISME DAN JATI DIRI  

Posted by: Suryati Md.Yasin in

PEMBINAAN WARGA
Warganegara yang baik adalah warganegara yang peka kepada tuntutan semangat patriotisme & ideologi negara, mencintai tanah air, berdisiplin, menyahut seruan dan menyokong cita-cita negara serta memahami, menghayati dan mengamalkan nilai-nilai murni.

Menurut Tun Salleh Abbas, Rukun Negara tidak mengenakan kewajipan
yang lebih dan tidak memberikan hak yang lebih berbanding dengan apa
yang terkandung dalam perlembagaan. Jadi usaha untuk mematuhi Rukun
Negara tidak lebih daripada usaha untuk mematuhi perlembagaan. Warganegara patut menghormati hak dan tanggungjawab, adat, kebiasaan
dan budaya masing-masing.

Rukun Negara merupakan pasport ke arah pencapaian bukan sahaja kehidupan bersama berbagai-bagai bangsa tetapi percampuran pelbagai bangsa secara harmoni.

Kata-kata Allayarham Tun Abdul Razak, kerajaan akan berbuat apa sahaja bagi menggalakkan perpaduan negara, supaya tidak sesiapa pun akan mengalami apa-apa kehilangan atau merasa penafian hak, keistimewaan, pekerjaan serta peluang.

Kata-kata YAB Dato’ Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, setiap warganegara haruslah aktif berperanan dalam pembangunan.Beliau juga menekankan soal pembangunan modal insan “Human Capital Development” dalam membina tamadun manusia kerana beliau memahami hakikat bahawa insan-insan kamil merupakan aset ke arah pembentukan sebuah tamadun yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Beliau tidak mahu bangsa Melayu dan umat islam terus dikuasai oleh mentaliti pemikiran kelas ke-3 sedangkan Malaysia memiliki prasarana yang bertahap dunia.Beliau juga telah menggariskan wawasannya untuk melahirkan umat Melayu yang beragama Islam, memiliki keperibadian sebagaimana yang dimiliki oleh para sahabat Rasulullah S.A.W di awal kebangkitan Islam pada abad ke-7 dahulu.

Rasulullah S.A.W sendiri pernah menyatakan misi kerasulannya yang
bermaksud:” Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang
mulia”.

Justeru, di peringkat awal penyebaran Islam, Nabi Muhammad S.A.W telah menjalankan satu pendekatan tarbiyah bagi memperkukuhkan asas-asas pembinaan insan menerusi pembinaan iman, akhlak dan amal agar sikap ini sebati dengan diri umat Islam.

Teraju utama Negara kita adalah membina harapan untuk mengubah
minda Orang Melayu dalam menghadapi cabaran persaingan sejagat.

DEFINISI PATRIOTISME
Mengikut beberapa kamus dan ensaiklopedia Melayu dan Inggeris, patriotisme bolehlah didefinisikan sebagai``Perasaan cinta yang kuat terhadap tanah air.'' Semangat cinta tanah air dan sikap bersedia mengorbankan apa sahaja untuk kejayaan dan kemakmuran negara”.
Menurut ahli cendiakawan pula patriotisme merupakan sesuatu yang abstrak yang lahir daripada nilai-nilai cinta, kasih, sayang dan kesetiaan kepada nusa dan bangsa. Ia merupakan semangat yang universal, bebas daripada elemen perkauman dan sanggup berkorban nyawa demi mempertahankan maruah tanahair tercinta.
Oleh itu, patriotisme bolehlah ditakrifkan sebagai semangat perjuangan dan pengorbanan yang berasaskan nilai-nilai cinta, kasih, sayang, kesetiaan, kebanggaan, keikhlasan, kesanggupan, kesungguhan dan komitmen seseorang manusia kepada agama, bangsa dan negaranya.

UNSUR-UNSUR PATRIOTISME
Patriotisme di zaman datuk nenek moyang kita lebih dizahirkan melalui semangat juang dan keberanian dalam menghadapi musuh dan apa jua cabaran yang mengancam kedaulatan bnagsa dan tanahair disamping memperjuangkan kebebasan dari cengkaman penjajah yang diertikan sebagai sebuah kemerdekaan. Selepas itu generasi yang lahir selepas merdeka fokus patriotismenya ialah mengisi kemerdekaan. Bagi yang melalui zaman konfrontasi, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan Malaysia yang baru dibentuk. Tragedi 13 Mei 1969, yang berlaku menuntut semanta patriotisme dari segi fokusnya perpaduan rakyat manakala pada masa kegawatan ekonomi pula, fokusnya ialah mempertahankan kedaulatan ekonomi negara.
Setelah negara menjangkau berpuluh tahun kemerdekaan, persepsi terhadap patriotisme bukan sahaja mengorbankan nyawa dan darah malah menuntut kepimpinan yang berjiwa rakyat, bertungkus-lumus memajukan negara untuk mencapai taraf dunia dan sentiasa memperjuangkan keselamatan tanah air dan kesejahteraan ummah.
Terdapat juga warganegara Malaysia yang menzahirkan semangat patriotismenya melalui kejayaan mencipta rekod dan menempa nama Malaysia di pentas dunia. Demi nama Malaysia, mereka sanggup menyahut cabaran merentas lautan belayar mengelilingi dunia secara solo, berenang menyeberangi Selat Inggeris dalam tempoh yang tersingkat, memacak dan mengibarkan Jalur Gemilang di puncak Gunung Everest, dan menawan Kutub Utara walaupun menyedari bahaya dan risiko yang menanti. Dan yang paling tidak mungkin dilupakan kejayaan Dato Syeikh Muzafar membawa nama Malaysia dan mencipta sejarah sebagai angkasawan pertama dari Asia tenggara.
Apabila ditinjau dari sudut pandangan Islam pula, sifat patriotisme juga mempunyai hubung kait yang rapat dengan sifat cintakan negara dan tanah air. Rasulullah s.a.w. pernah menyatakan di dalam sebuah hadis yang membawa maksud: ”Cinta kepada negara adalah sebahagian daripada iman”.
Ini amat jelas sekali daripada ayat 60 Surah al-Anfal yang membawa maksud: ”Hendaklah kamu bersiap sedia dengan sebaik mungkin dengan sekadar tenagamu, kekuatan dan kuda yang terpaut, dengan demikian kamu menakuti musuh Allah dan musuhmu…”
Ayat ini dengan jelas memfokuskan kepada usaha mempertahankan diri dan negara daripada serangan musuh. Dalam erti kata lain, Islam menggalakkan umatnya mengamalkan sikap patriotik di dalam diri masing-masing.

KEPENTINGAN PATRIOTISME
Tun Dr. Mahathir Mohamed pernah mengingatkan, “tanpa semangat ini, kita tidak boleh yakin kita dapat bertahan, kita dapat kekalkan hak kita. Kemungkinannya ialah kita akan tinggal nama dalam sejarah saja”.
Patriotisme penting kepada Malaysia. Ia menjadi satu daripada prasyarat pembentukan bangsa dan pengukuhan ketahanan nasional. Apabila seseorang warga itu mempunyai semangat patriotisme, dengan sendirinya cinta dan kasih yang tulus abadi terhadap negara menjadi benteng dan perisai dalam menangkis seluruh elemen dalaman dan luaran yang boleh mengancam agama, melumpuhkan bangsa dan meruntuhkan negara.

Patriotisme memainkan peranan penting dalam membentuk kemuliaan agama, keunggulan jati diri, kemantapan budaya, keteguhan perpaduan antara kaum,politik bersih, semangat perjuangan yang tekal dan masa depan yang cerah.

PERANAN GURU DALAM MENYUBURKAN PATRIOTISME DIKALANGAN MURID.

Peranan guru tidak hanya menyediakan pelajar dengan ilmu dan kemahiran untuk dihafal atau diluahkan dalam peperiksaan, tetapi juga bertanggungjawab membentuk sahsiah serta akhlak mulia di kalangan mereka. Guru tidak harus menjadi penyampai ilmu semata-mata, sebaliknya perlu turut membentuk jiwa dan nilai yang murni.

Dalam menyuburkan nilai-nilai patriotisme dalam diri pelajar, guru boleh menggunakan elemen sejarah sebagai medium. Hakikatnya manusia mudah lupa pada sejarah.Memang benar dari segi fizikalnya kita telah bebas dari penjajahan, namun bangsa Malaysia pada hari ini berhadapan dengan musuh yang menjelma dalam pelbagai bentuk dan rupa. Kita sebenarnya telah berasa selesa dan enak dibuai mimpi. Namun jangan kita lupa kelekaan ini memberi peluang pada musuh negara menyerang secara senyap. Ibarat gunting dalam lipatan. Guru harus menyedarkan pelajar mengenai keperitan dan perjuangan hidup dalam membebaskan tanahair dari cengkaman penjajah.
Selain itu guru boleh membimbing murid mengenal diri dan mencintai warisan bangsa dan negara memupuk perasaan cinta dan bangga terhadap agama, bangsa dan negara, bersemangat kekitaan, berdisiplin dan hidup bermasyarakat dan harmonis, memahami dan menghargai usaha-usaha negara dalam pembangunan dan kemajuan, membina dan mengembangkan kefahaman, kesedaran dan kepekaan terhadap isu-isu dalam masyarakat serta berupaya untuk bertindak dengan sewajarnya; dan bersemangat ingin berusaha dan melibatkan diri secara aktif dan produktif untuk kemajuan bangsa dan negara.
JATI DIRI

Jati diri ialah unsur-unsur kehidupan yang mencerminkan lahiriah individu atau masyarakat, contohnya kebolehan berniaga pada kaum Cina adalah salah satu sikap jati diri. Dalam pengertian lain jati diri ialah identiti individu, masyarakat dan Negara bangsa yang mempunyai sifat-sifat keutuhan yang dibanggakan. Jati diri juga merujuk kepada keteguhan hati dan kekuatan jiwa seseorang. Jati diri dibangunkan dengan ilmu dan didikan agama yang kukuh. Dengan ilmu yang kita perolehi pula, kita boleh menjana masyarakat kita. Satu bangsa yang hebat mempunyai jati diri yang tinggi, sanggup berjuang, rajin bekerja, sentiasa mementingkan kualiti kerja, sanggup menghadapi cabaran, ingin mencuba, tidak mudah patah hati, memahami dan menghayati ciri-ciri negaranya yang unik.

Jati diri amat penting dalam diri seseorang untuk membolehkannya menjalani kehidupan yang bahagia dan mencapai kejayaan yang lebih bermakna. Sekiranya jati diri atau ketahanan diri ini tidak ada pada diri individu, maka pelbagai sifat yang negatif akan mempengaruhinya dengan mudah. Kerapuhan jati diri inilah yang sering menjadikan individu itu tamak dalam mengejar kejayaan dan kemewahan dunia tanpa memikirkan kesan perbuatannya kepada diri sendiri dan orang lain. Inilah antara sebab mengapa sesetengah individu sanggup disogok rasuah, meyebarkan fitnah, berdendam, mempunyai hasad dengki, mudah hilang sabar, terjebak dalam penagihan dadah, penyeludupan, jenayah dan sebagainya.

Malaysia memerlukan para guru yang memiliki sifat jati diri. Di samping itu, kita perlu sedar sesuatu bangsa itu tidak akan dimartabatkan di mata dunia tanpa memiliki sebuah negara merdeka. Jati diri adalah merupakan perisai utama untuk mengekalkan kemerdekaan sesebuah negara dari semua aspek khasnya penjajahan minda. Jati diri boleh mempengaruhi perkembangan politik, ekonomi dan sosial. Oleh yang demikian kemajuan dan kemunduran sesebuah negara berkait rapat dengan jati diri. Sekaligus anda sebagai guru memainkan peranan utama dalam usaha membentuk jati diri di kalangan generasi akan datang.

Warganegara yang memiliki jati diri adalah rakyat malaysia yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga serta masyarakat. Antara sumbangannya ialah memupuk keharmonian keluarga, bersemangat patriotik dan mengamalkan prinsip-prinsip Rukunegara, mematuhi, mengekalkan dan mempertahankan kestabilan negara, memupuk perpaduan melalui semangat kerjasama, berbakti, toleransi, kekitaan dan hormat- menghormati. Sains dan teknologi juga harus digunakan untuk memajukan ekonomi ke arah perkembangan bangsa dan negara.

Terdapat beberapa implikasi terhadap sesebuah negara jika rakyatnya tidak memiliki jati diri. Antaranya ialah akan berlaku keruntuhan sosial akibat terlalu ghairah meniru segala yang datang dari Barat. Selain daripada itu, kemerosotan ekonomi juga akan terjadi akibat terlalu mengagungkan barangan luar negara. Terdapat juga ruang dan peluang kepada amalan politik yang kurang sihat serta maruah dan martabat Negara akan tergadai serta berlakunya penjajahan minda yang mengganggu gugat kedaulatan Negara.

Tahap jati diri rakyat Malaysia secara umumnya masih rendah. Ini dapat diperhatikan dengan melihat cara hidup segelintir masyarakat Malaysia yang begitu mengutamakan harta dan kekayaan sehingga lupa akan budaya bangsa Malaysia. Ramai yang mengabaikan aspek kerohanian dalam mengejar cita-cita. Maka tidak hairanlah, sesetengah individu bersikap bongkak dan sombong setelah mendapat pangkat tertentu atau menjawat jawatan tinggi. Sukar untuk kita melihat individu yang masih mengikut resmi padi,”semakin berisi, semakin tunduk”. Bagi individu yang memiliki harta dan kekayaan pula, sesetengahnya begitu megah dan bakhil.

Bagi yang miskin pula, mereka tanpa segan silu meminta-minta dan mengharapkan sedekah walaupun mereka sihat dan mampu bekerja. Sesetengahnya pula mencuri, meragut dan sanggup membunuh demi mendapatkan wang untuk dadah, berjudi, minum arak, berpesta dan sebagainya. Bagi remaja masa kini, tahap jati diri begitu rapuh sehingga ramai remaja yang terlibat dalam masalah sosial seperti penagihan dadah, pelacuran, sindiket cetak rompak, buang bayi, budaya samseng dan sebagainya. Mereka sanggup melanggar ajaran agama dan membelakangkan ibu bapa. Apabila kesusahan dan bala tiba, mereka pula yang tidak sanggup menerimanya dan tidak redha sedangkan masalah remaja masa kini berpunca dari mereka sendiri. Inilah antara masalah-masalah masyarakat yang menunjukkan ketahanan diri atau jati diri masih lemah. Tidak hairanlah perpaduan sukar untuk dipertahankan kerana masing-masing hidup mementingkan diri sendiri.

Untuk mencapai keharmonian dan kemakmuran keluarga serta masyarakat secara keseluruhannya, maka setiap individu perlu memiliki jati diri agar setiap individu dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan memupuk perpaduan melalui semangat kerjasama, berbakti, toleransi, kekitaan dan hormat-menghormati. Tanggungjawab guru sebagai arkitek pembangunan Negara bangsa bukanlah mudah. Ia memerlukan ilmu, kemahiran dan kesungguhan dalam amalan. Guru juga perlu menjadi role model dalam melahirkan Warganegara yang cintakan Negara, patriotik, patuh kepada Perlembagaan dan taat setia kepada Negara serta bangga menjadi rakyat Malaysia.



BIBLIOGRAFI
http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2005&dt=0829&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_02.htm
www.ypkdt.org.my/ypkdt/articles.php?id
http://rampaiseri.wordpress.com/2007/04/12/menghayati-nilai-patriotisme/
http://sahabatmantap.wordpress.com/2007/08/22/di-manakah-semangat-patriotisme/