KAEDAH P&P AL-QUR'AN (KAEDAH 1-TALAQQI MUSYAFAHAH)  

Posted by: Suryati Md.Yasin in

Kaedah talaqqi musyafahah

ü Pengenalan ringkas kaedah talaqqi musyafahah

Ini jelas daripada peristiwa di gua hira’ ketika al-Qur’an mula-mula diturunkan kepada nabi Muhammad seperti yang diriwayatkan oleh bukhari. Dalam peristiwa itu Jibril membaca terlebih dahulu bacaan dan didengari oleh nabi Muhammad. Kemudian nabi Muhammad disuruh oleh jibril mengikut dan mengulang semula bacaan tersebut sama seperti apa yang dibaca oleh jibril.

ü Definisi

Talaqqi dari segi bahasa bermaksud pertemuan secara berhadapan atau bersemuka.Manakala dari segi istilah ia bermaksud pertemuan antara guru dan murid secara bersemuka. Guru memberi contoh bacaan dan murid mengikut bacaan guru.

Musyafahah dari segi bahasa ialah sebutan dari mulut ke mulut yang diambil daripada pergerakkan dua bibir. Manakala dari segi istilah ia bermaksud murid menerima pengajaran secara sebutan guru dengan melihat pergerakkan bibir guru dan menyebutnya.

ü Dalil Kaedah Talaqqi-Musyafahah
لاَتُحَرِّك بِهِ لِسَانَكَ لِتَعْجَلَ بِهِ {16} إِنَّ عَلَيْنَا جَمْعَهُ وَقُرْءَانَهُ {17} فَإِذَا قَرَأْنَهُ فَاتَّبِعْ قُرْءَانَهُ{18}
(سورة القيامة: ايات 16-18)


Maksudnya : “Janganlah engkau (Muhammad) menggerak-gerakkan lidahmu kerana hendak bersegera membaca dan menghafaznya (sebelum selesai jibril membacanya). Sesungguhnya kamilah yang berkuasa mengumpulkan al-Qur’an (ke dadamu) dan Kamilah yang menetapkan bacaannya (pada lidahmu). Oleh itu, apabila Kami telah selesai membacanya maka ikutlah bacaannya”.


وَقُرْءَانًا فَرَقْنَاهُ لِتَقْرَأَهُ عَلَى النَّاسِ عَلَى مُكْثٍ وَنَزَّلْنَاهُ تَنْزِيْلاً
سورة الإسراء :106

Maksudnya : “ Dan Al Quran itu Kami bahagi-bahagikan dia supaya engkau membacakannya kepada manusia dengan lambat, tenang dan Kami menurunkannya beransur-ansur.”


عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ أَنَّ رَسُوْلَ اللهِ قَالَ ِلأُبَيّ : إِنَّ اللهَ أَمَرَنِيْ أَنْ أَقْرَأَ عَلَيْكَ القرآن قَالَ أُبَي : آللهُ سَمَّانِيْ لَكَ قَالَ اللهُ سَمَّاكَ لِيْ فَجَعَلَ أُبَي يَبْكِي
رَوَاهُ البُخَارِي

Maksudnya : Daripada Anas Bin Malik bahawasanya Rasulullah s.a.w telah berkata kepada Ubay : “ Sesungguhnya Allah menyuruhku membacakan Al Quran padamu” Ubay berkata : ِAdakah Allah memilihku dan menyebut namaku disisimu?. Jawab Nabi: “Allah telah memilih dan menamakan kamu disisiku ” Maka Ubay pun menangis.


قال النَّبِيَّ : خُذُوْا القُرْآنَ مِنْ أَرْبَعَةٍ : مِنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ مَسْعُوْد وَسَالِمٍ وَمُعَاذِ وَأُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ) رَوَاهُ البُخَارِي
Maksudnya : Sabda Rasulullah s.a.w : “Ambillah (pelajarilah) Al Quran daripada empat orang iaitu cAbdullah Bin Mascud , Salim , Mucaz dan Ubay Bin Kacab”


ü Cara perlaksanaannya.

Sebelum
Murid akan duduk bersemuka dengan guru secara langsung dan bersemuka.

Semasa
Guru mula memperdengarkan bacaan al-Qur’an. Ketika itu murid-murid dikehendaki mendengar dan memerhatikan gerak bibir guru dalam melafazkan kalimah-kalimah tertentu. Selepas guru selesai menghabiskan bacaan, murid akan mengikut bacaan guru. Ketika itu guru mendengar bacaan murid dan membetulkannya jika terdapat kesilapan di dalam bacaan.


ü Analisis kekuatan dan kelemahan

KEKUATAN

· Murid dapat membaca dengan tepat dan betul dari segi makhraj dan tajwid mengikut bacaan guru.
· Isi pembelajaran tidak diragui akan kesahihannya.
· Murid dapat ilmu secara langsung daripada guru. Ini akan mengelakkan murid-murid mendapat kefahaman dan ilmu yang salah
· Meningkatkan keyakinan murid berhadapan dengan guru.

KELEMAHAN

· Pembelajaran lebih berpusatkan guru
· Murid menjadi pasif
· Kelemahan contoh bacaan guru akan menimbulkan kesan yang besar terhadap murid.