KAEDAH P&P DALAM AL-QUR'AN: (KAEDAH 2-KAEDAH IQRA')  

Posted by: Suryati Md.Yasin in

Kaedah Iqra’

ü Pengenalan ringkas kaedah Iqra.

Di zaman mutakhir ini pelbagai kaedah telah dicipta yang rata-ratanya menitikberatkan kecepatan dan kemahiran di dalam pengajaran dan pembelajaran al-Qur’an. Antaranya ialah kaedah Iqra’ yang merupakan kaedah yang paling masyhur di Asia Tenggara. Kaedah ini disusun di Indonesia oleh al-marhum Ustaz Hj.As’ad Humam (Pengarah Kumpulan Tadarus Angkatan Muda Masjid dan Musholla Yogyakarta) pada tahun 1988. Sebelum beliau menyusun kaedah ini, beliau telah beralih arah daripada kaedah baghdadiah kepada kaedah qiraati selama 3 tahun.Beliau telah menemui beberapa perkara dalam qiraati yang perlu diperbaiki untuk kepentingan para pelajarnya. Namun usulnya tidak mendapat sambutan pihak pengurusan Qiraati sehingga memaksa beliau menyusun semula dan muncullah kaedah yang diberi nama Iqra’.

Kemashurannya telah tersebar di seluruh asia tenggara termasuk di Malaysia pada tahun 1992. Kemudian ia telah dikembangkan dibeberapa buah sekolah di Malaysia selepas tempoh percubaannya selama lebih kurang 6 bulan. Seterusnya ia telah diguna pakai dan dijadikan antara kaedah utama di dalam pengajaran dan pembelajaran al-Qur’an di sekolah-sekolah rendah seluruh Negara.

ü Definisi

(Ghazali Darussalam, 2001), “Istilah Iqra, diambil daripada permulaan ayats surah al-‘alaq yang bermaksud bacaan. Kaedah Iqra’ bermaksud membaca al-Qur’an dengan cepat secara membunyikan terus huruf-huruf berbaris tanpa mengejanya mengikut resam Othmani”.

Melalui kaedah ini, murid-murid akan membaca terus huruf-huruf yang berbaris tanpa perlu mengejanya terlebih dahulu. Murid-murid juga tidak perlu mengenal istilah-istilah tajwid seperti izhar, iqlab dan lain-lain, Perkara paling penting yang ditekankan di dalam kaedah ini ialah murid-murid dapat menguasai bacaan dengan fasih dan betul.

ü Dalil kaedah Iqra’

Jika kita buka kembali lipatan sejarah methodologi penurunan al-Qur’an di mana ketika mula-mula wahyu diturunkan iaitu surah al-Alaq kita akan dapati Jibril mengajar Rasulullah dengan cara jibril membaca terus ayat dalam surah al-alaq tanpa mengeja huruf demi huruf. Ini membuktikan kaedah ini juga boleh digunapakai dalam pengajaran dan pembelajaran al-Qur’an.

ü Cara perlaksanaannya

BUKU IQRA’ 1

Isi pelajaran:
1.Membunyikan huruf tunggal berbaris atas tanpa perlu mengeja.


Cara mengajar:
*Guru hanya memberi contoh bacaan tanpa perlu menerangkan mengapa dibaca sedemikian.
*Guru menyemak seorang demi seorang
*Murid pandai membantu murid yang lemah.


BUKU IQRA’ 2

Isi pelajaran :
1.Mengenal huruf yang bersambung dan bacaan mad.

Cara mengajar:

*Guru tidak perlu menerangkan huruf-huruf yang disambung.
*Guru memperdengarkan perbezaan bacaan huruf yang ada mad dengan bacaan huruf yang tiada mad.

*Bagi murid yang lemah dan keliru mengenai bacaan panjang atau pendek, mulai dari muka surat 14 bolehlah diterangkan kepadanya mengapa dibaca demikian.

BUKU IQRA’ 3

Isi pelajaran:
1.Bacaan mad (و) dan (ي)
2.Memperkenalkan bacaan yang berbaris atas (fathah), bacaan berbaris bawah (Kasrah), dan bacaan yang berbaris hadapan (Dhommah).
3.Perbezaan bunyi antara (ت) maftuhah dengan (ة) marbuthoh ketika berhenti (waqaf)
4.Memperkenalkan huruf ا bertanda mati (sukun).


Cara mengajar:
™ Sekiranya murid selalu memanjangkan bacaan yang sepatutnya dibaca pendek kerana mengingatkan huruf berikutnya maka bacaan bolehlah terputus-putus atau guru boleh menutup huruf berikutnya.

BUKU IQRA’ 4

Isi pelajaran;
1. Bacaan berbaris dua di atas, dua dibawah dan dua dihadapan.
2. Bacaan (نْ) dan (مْ).
3. Bacaan izhar halqi dan qalqolah.

Cara mengajar :
*Guru memperkenalkan nama-nama huruf dan baris.
*Guru memperdengarkan bacaan yang betul pada huruf yang ada tanda sukun.
*Guru membimbing bacaan izhar halqi dan qalqolah.
*Guru boleh membaca secara taranum untuk menambah minat murid-murid.

BUKU IQRA’ 5

Isi pelajaran:
1. Huruf-huruf yang dianggap tidak ada pada bacaan.
2. Cara waqaf huruf yang bertanuin.
3. Tanda syaddah (_ّ)pada huruf.
4. Bacaan tajwid secara idgham, ikhfak dan mad yang melebihi dua harkat

Cara mengajar:
*Murid digalakkan menghafaz ssurah al-mukminun ayat 1-11 pada muka surat 27.
*Sistem tadarus boleh diperkenalkan kepada murid yang sama taraf pencapaiannya.
*Guru hanya memperdengarkan bacaan bertajwid seperti idgham, ikhfak dan mad yang melebihi dua harkat dan tidak perlu memperkenalkan istilah-istilah tersebut. Murid dapat membacanya secara betul dan bertajwid itulah yang paling penting.


BUKU IQRA’ 6

Isi pelajaran:
1.Bacaan-bacaan dengung
2.Tanda-tanda berhenti (waqaf) dan cara bacaannya.

Cara mengajar :

*Murid masih terikat dengan panduan membaca iaitu « lambat asalkan betul ».
*Cara bacaan yang menyusahkan tidak digalakkan walaupun bacaan tartil.

Didalam kaedah iqra’, antara teknik-teknik bacaan yang terkandung didalamnya adalah seperti berikut :-


a)Teknik tarikah bi al-tadris iaitu guru membaca terlebih dahulu dan murid mengikut secara kelas.
b)Teknik ar-riyadhiah al-tikrar iaitu bacaan secara latih tubi.
c)Teknik al-tawasi’ bi al-maqasid iaitu teknik pengajaran beserta bahan bantu mengajara.
d)Teknik al-tariqah bi al-shautiyah iaitu membaca dengan sebutan dan intonasi dengan betul dan jelas.
e) Teknik takhqiq iaitu bacaan secara putus-putus.
f) Teknik jahar iaitu membaca dengan menyambung terus hurufke huruf dan ayat ke ayat.
g) Teknik tartil iaitu membaca secara lancar tetapi betul bacaannya.
h) Teknik tadwir iaitu membaca secara hafaz tanpa tersekat-sekat.
i) Teknik al-tariqah al-muqaranah iaitu banding beza bacaan dari segi sebutan dan bunyi,
j) Teknik al-tariqah bi al-riyadhiah al-asfal iaitu menyusun huruf dan ayat secara latih tubi tanpa hafazan.
k) Teknik al-tariqah min al-ma’ruf ila al-majhul iaitu mengenal huruf-huruf tunggal dahulu diikuti huruf-huruf yang bersambung.
l) Teknik al-tariqah min al-asfal ila al-‘ala iaitu membaca bacaan yang mudah terlebih dahulu diikuti bacaan yang sukar.

Setiap buku iqra’ disusun dimulai dengan barisan huruf, perkataan atau ayat sebagai pengenalan, manakala barisan tengah pula sebagai latihan. Bagi peneguhan, ujian atau penilaian disusun dibahagian akhir buku ini.

ü Analisis kekuatan dan kelemahan.

KEKUATAN
* Memahirkan muird-murid dengan bacaan al-Qur’an dalam tempoh yang singkat.
*Kaedah yang bersistematik, tersusun dan buku yang pelbagai warna menarik murid untuk membacanya.

*Bertepatan dengan matlamat KBSR

KELEMAHAN
*Mendatangkan kekeliruan murid apabila berhadapan dengan huruf jawi. Sebagai contoh: pada huruf jawi (ش) dibaca dengan sha (شَ). Ini kerana dalam kaedah iqra’ murid tidak diperkenalkan huruf.
*Tidak sesuai untuk murid yang terlampau lemah daya ingatannya.
*Sokongan, objektif dan tujuan yang disasarkan dalam pengajaran menurut kaedah ini tidak dinyatakan dengan jelas kepada guru dan murid.